Sunday, September 13, 2009

Perihal ketam

Masa aku bekerja di Malaya dulu, aku selalu berdepan dengan komplain dari customer. Cuma secara kasarnya 'Selalu' itu tak lah kerap sangat. Bisnis aku pon bukannya besar sangat. Prinsip aku adalah menyelesaikan masalah, bukan lari dari masalah. Semakin aku lari, semakin aku bermasalah. Langkah terbaik, hadapi dan cari penyelesaiannya.

Pelajaran ini aku perolehi sewaktu aku berumur 6-7 tahun dikala aku dikejar oleh mak aku kerana aku buat salah. Aku lari, dan lari, akhirnya aku berhenti, dan hadapi segala kemungkinan. Alhamdulillah, setelah aku menerima hukuman, aku masih hidup hingga sekarang. Ternyata hukuman yang aku terima di kala itu tidak meragut nyawa aku

Tapi kebanyakan Melayu yang aku jumpa, tak mahu berhadapan dengan masalah. Bila ada masalah mereka lebih suka lari, tak nak bercakap dengan orang yang komplain, pendam rasa, dan sebagainya. Bagi aku, sangat susah lah jika begitu. Apa lagi masalah akan terus bertimbun timbun. Tentu peribahasa nenek moyang bukan ditujukan kepada bangsa lain, melainkan kepada bangsa Melayu sendiri. Bodoh sombong, pekak badak, dan banyak lagi.

Sikap melarikan diri ini sering juga dikaitkan dengan menyalahkan orang lain. Ah dulu dia pon macam tu juga. Siapa yang jual tanah Melayu dulu dan sebagainya lah.

Aku dapati ada beberapa perkara yang terlibat

1. Si A berbuat salah
2. Si B berbuat kesalahan yang sama
3. Si B menutup kesalahan yang sama itu dengan menyatakan si A buat dulu

Persoalannya
1. Kedua dua nya berbuat salah
2. Si B mahu kesalahannya dikambus dengan menutup mulut orang lain
3. Si B mahu kesalahannya diiktiraf sebagai tidak salah

Akhirnya
1. Kesalahan tetap berleluasa malah berkembang biak
2. Tiada penyelesaian
3. Si B ikut masuk lubang hitam penuh nanah bersama sama si A

Seperti seorang kanak kanak yang nak makan gula gula.
1. Kanak kanak A makan gula gula
2. Gigi kanak kanak A rosak teruk
3. Kanak kanak B nak makan gula gula juga, tapi tak dibenarkan oleh ibubapanya
4. Kanak kanak B merengek mengatakan si A makan gula gula juga tak ada orang marah pon

Masalahnya,
1. Mahukan kanak kanak B memiliki gigi yang rosak sama seperti kanak kanak A
2. Adakah kanak kanak B mahu taraf giginya sama dengan taraf gigi kanak kanak A

Kanak kanak B gagal melihat bahawa terdapat 2 kes yang berbeda

1. Tak baik makan gula gula
2. Perilaku menurut kesalahan yang dilakukan oleh orang lain bererti mereka sama sahaja

Jika mentaliti seperti ini diteruskan hingga dewasa, maka tak banyak masalah yang akan dapat diselesaikan mahupon kemajuan yang akan dicapai. Jika kita telusuri keadaan sekarang ini, tak bertambah pon kemajuan yang dapat dilihat di Malaya setelah pemerintahan bertukar tangan. Yang memang agak banyak ada ialah menyalahkan orang lain.

Mungkin sebab itu jugalah aku melihat bahawa tiada satu pon mesjid di Birmingham ini yang didirikan oleh orang Melayu walaupon kehadiran Melayu di Bumi Birmingham ini sama dengan tahun kehadiran sedara Pakistan, India dan Bangladesh. Sebabnya, Melayu suka cari kesalahan orang lain untuk menutup kelemahan diri sendiri.

Maka agak benar jugalah perumpamaan kata kata peniaga Cina, dia lebih suka masak ketam Melayu dari masak ketam Cina. Menurutnya, ketam Cina susah nak masak sebab depa selalu boleh keluar periuk punya, sedangkan ketam Melayu pasti tak akan keluar periuk. Sebabnya, bila ketam Cina nak keluar periuk, ketam ketam lain akan bantu dia keluar. Tapi bila ketam Melayu nak keluar periuk, ketam lain pasti akan menariknya kembali masuk dalam periuk

Sekian terima kasih

No comments:

Post a Comment